‘Karipap’ Seni Berinti ‘Money’

            Jika anda dipaksa makan karipap berintikan tepung gandum atau lada hitam, hanya ada dua kemungkinan selepas itu.Anda akan muntah atau menjerit kepedasan. Inilah analogi seni Malaysia hari ini. Memualkan. Perkataan yang tepat untuk menggambarkannya. Kita dihidangkan dengan seni yang melalaikan, menjauhkan diri daripada mengingatiNya. Apa yang dihidangkan kepada kita oleh tukang-tukang masak yang tidak bertauliah ini ialah karipap; bukan berinti kentang tetapi berinti tepung atau lada hitam. Itulah ‘karipap’ seni berinti ‘money’. Mungkin sedikit melucukan tetapi inilah analogi untuk kita memahaminya.Apa erti hidup tanpa mengingatiNya? Jauh daripada hidayahNya. Apabila sudah jauh, apa lagi yang kita harapkan? Melainkan hidup yang berjalan tanpa makna dan arah tujuan.

 

            Seni berbudi bukan lagi menjadi pertimbangan pengkarya dan artis kontemporari hari ini (bukan semua). Apa yang utama dan menjadi perkara pokok (bukan buah) ialah seni bertunjangkan hawa nafsu disamping ber’money’. Seni berwajah duit-duitan dan kebobrokan. Seni hari ini bukan lagi seni yang boleh diletakkan sebagai penunjuk aras ketinggian tamadun kemanusiaan, tetapi seni yang ditunjangi oleh nilai ‘money’ dan bisnes semata-mata. Seni yang tidak mengerti apa itu dosa. Seni kontemporari bukan lagi menjadi sebahagian wadah mendidik jiwa ke arah keluhuran budi, kemurnian aqli, dan kebersihan hati tetapi semakin menjarakkan kita dari makna sebenar kehidupan. Apakah hakikat sebenar kehidupan? Saya pasti semua dapat menjawab dengan terang. Bagaimana untuk mencapai hakikat itu? Tentulah ada jalannya. Apakah jalan seni yang dinikmati oleh pancaindera hari ini ialah jalan seni yang benar? Maka, inilah perlu difikirkan dengan kritis oleh semua.

 

            Seni perlu dianggap perjuangan mendidik, membudaya nilai kebaikan, menyubur akal budi dan lantas membentuk peribadi mulia. Secara jujurnya mari kita menilai apakah seni di Malaysia hari ini ke arah itu? Apakah dengan memusingkan kepala dilantai itu menjadikan kita lebih bijak akal budi atau mengingatkan diri ini yang diciptakan daripada tanah yang hina? Bahkan kepala yang letaknya akal penentu kewarasan, sanggup pula dipusing-pusing dilantai. bagai ada sesuatu tidak kena dengan ‘perangai’ seperti ini. Perlukah saya memanggil doktor ‘psikiatri’ kepadanya? Apakah dengan berpakaian berlopong sana dan sini itu memperlihatkan kemodenan anda yang bermakna moden itu lebih baik dan tinggi darjatnya. Apakah dengan berpakaian tidak menutup aurat, iaitu melanggar hukum agama itu boleh mendidik audien untuk menjadi insan yang baik iaitu insan yang beragama? Perlukah saya memanggil tukang jahit yang mengerti akan kemuliaan insani kepadanya?

 

             Apa ertinya jika seni bergerak tanpa panduan Tuhan? Menyanyi tanpa makna, berhibur bergaul mesra bercampur ‘jantan’ dan ‘betina’, menjerit sehingga hampir-hampir putus suara, berlakon bukan untuk mengajar baik tetapi mengajak ke arah ‘pelik’. Seni apakah ini? Seni Islam Hadhari? Opps..Bukan tulisan politik tetapi masyarakat politik turut bertanggungjawab menjawab ‘inti karipap seni’ hari ini. Seni inilah yang ‘menyesatkan’. Mungkin agak kasar tetapi inilah hakikat yang perlu ditelan.Seni hari ini telah terlalu jauh mengembara dari tempat asal-usulnya dan matlamatnya, sehingga sukar kembali mencari jalan pulang. Kembalikan seni yang sebenar kepada masyarakat. Seni yang penuh makna, seni kerana mengingati dan patuh kepadaNya. Seni di Malaysia perlu diberi nafas dan ‘roh’ baru agar tidak terus hanyut dalam seni bertunjangkan hawa nafsu buruk atau seni bernilai ‘money’. Seni di Malaysia perlu dijenamakan semula demi mencapai tujuan dan makna hidup. Andalah penentunya.Dan Islam memberi jalannya ke arah misinya ‘rahmatan lil alamin’. Seni beteraskan Islam, yang mengerti makna keindahan, menanggapi makna kebenaran, dan hanya semata-mata meraih redha Tuhan.

  

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: